Thursday 22 November 2012

GAZA Dalam Hikayat Burung dan Nabi Ibrahim A.S.

Kisah ini dipetik dan diolah daripada cerita Dato' Ustazah Siti Nor Bahyah melalui ruangan Semanis Suria @ Suria FM untuk dikongsi sebagai peringatan kepada diri sendiri dan juga rakan-rakan semua.

Dikisahkan tatkala Nabi Ibrahim A.S. di bakar oleh Namrud di dalam api yang marak membara, datanglah seekor burung yang kerdil dan lemah untuk membantu memadamkan api yang marak itu (ada sesetengah menyebut ianya adalah burung layang-layang dan ada juga kisah menyatakan ianya burung pipit-Wallahu'alam). 

Bagaimana seekor burung yang kerdil lagi lemah ini mampu untuk memadamkan api yang marak itu? 

Burung yang kerdil ini pergi mendapatkan air dengan menggunakan paruhnya yang kecil. Diambilnya air dan dititiskannya ke atas api yang marak membakar Nabi Ibrahim A.S. Burung ini berulang-alik melakukan perbuatan yang sama. Mengikut logik akal, masakan setitis air dari paruh burung kerdil ini mampu memadamkan api yang marak membara itu?

Maka haiwan yang lain pun berkata padanya: "Wahai kawanku, berhentilah kamu melakukan perkara yang sia-sia ini. Masakan usahamu itu mendatangkan kejayaan". Maka berkatalah pula burung yang kerdil itu: "Aku tahu bahawasanya kudrat aku ini tidak akan mampu untuk memadamkan api itu dan menyelamatkan Nabi Ibrahim A.S. Namun aku akan terus berusaha melakukan apa yang aku terdaya daripada aku hanya melihat kehancuran terus berlaku. Sekiranya Allah menyoalku kelak, apakah yang aku lakukan tatkala Nabi Ibrahim A.S. menghadapi dugaan dan cabaran, aku boleh menjawab bahawasanya aku telah melakukan mengikut kudratku. Sekiranya Allah bertanyakan kepada kamu wahai kawan-kawanku, apakah pula jawapan kamu?"

Ada juga riwayat menyatakan bahawa sekalian haiwan yang beriman kepada Allah S.W.T. dan Nabi Ibrahim A.S. telah cuba berikhtiar untuk menyelamatkan Nabi Ibrahim A.S. kecuali cicak. Sesungguhnya cicak telah meniupkan api kepada Nabi Ibrahim A.S.

Maka, pilihlah kamu untuk menjadi dikalangan yang beriman ataupun dikalangan cicak. 

Sediakanlah akan kamu jawapan-jawapan apabila Tuhanmu menyoalmu kelak. Apakah yang kamu lakukan tatkala saudara-saudara kamu dizalimi? 

Adakah jawapan kamu: 

Saya hanya mampu melihat wahai tuhanku. Sesungguhnya mereka amat jauh dariku dan apalah daya aku untuk membantu, atau,

Kiranya aku melakukan sesuatu pun, ia hanyalah sia-sia wahai tuhanku. Biarkanlah pemimpin-peminpin sahaja yang melakukan tugas mereka, atau,

Aku ingin membantu, tetapi rakan-rakanku yang lain hanya berdiam diri. Masakan ia memberikan kesan. Ianya hanya sekadar membuang masaku sahaja, atau,

Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menadahkan tanganku memohon doa ke hadratmu agar saudara-saudaraku dilindungi Ya Allah, dan menjahanamkan orang-orang yang menzalimi mereka, atau,

Sesungguhnya tuhanku, aku telah berusaha untuk tidak menyokong ekonomi mereka yang menzalimi orang lain, walaupun yang lain mencemuh tindakan ini dan menyatakan bahawa ianya hanyalah sia-sia.

Meskipun kita lihat tindakan ataupun kudrat kita itu sebagai tidak dapat membantu merungkaikan sesuatu konflik atau masalah, percayalah bahawa ianya adalah lebih baik daripada hanya melihat. Sesungguhnya melakukan sesuatu (walaupun kecil) adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa. Jika sesuatu yang kecil itu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan sejagat, pastinya ia akan menghasilkan kejayaan.  

Marilah kita membantu/bertindak dari segi yang kita mampu lakukan.

Renungkanlah. Hidup kamu adalah pilihan kamu. Namun disesetengah tempat, hidup bukanlah pilihan mereka. Semoga ALLAH merahmati kita semua. Amin!!!





 
ASSALAMUALAIKUM