Thursday 4 April 2013

TrAvELoGuE UmRaH 2013 [PaRt 2]

1.0 Jabal Uhud


Pada hari ketiga berada di Kota Madinah, jemaah di bawa ziarah sekitar kota Madinah. Tempat pertama yang ditujui adalah Jabal Uhud. Jabal Uhud adalah tempat dimana berlakunya Perang Uhud. Terdapat 3 lokasi penting di kawasan ini iaitu Jabal Uhud sendiri, Jabal Rumat dan juga makam para syuhada yang gugur di dalam Perang Uhud. 

Jabat Rumat atau dikenali sebagai "Bukit Pemanah" adalah bukit yang menempatkan 50 orang pemanah barisan hadapan semasa Perang Uhud. Ramai antara jemaah mengambil peluang untuk mendaki bukit ini. Bukit Uhud pula tinggi dan tiada yang mendakinya. Tanah Bukit Uhud ini kemerah-merahan. Kurang pasti juga di puncak manakah sebenarnya Rasullullah S.A.W. bertahan sewaktu berlakunya perang tersebut.

Diantara Jabal Uhud dan Jabal Rumat, terletaknya makam para syuhada (70 orang kesemuanya). Ianya di pagar rapi. Jemaah boleh membaca doa yang dipaparkan di papan tanda di hadapan pusara ini. Disekitar kawasan ini juga dipenuhi penjaja-penjaja cenderahati dan buah tamar.


Pusara Para Syuhada berlatarbelakang Bukit Uhud

Penjual Tamar & Jabal Rumat

2.0 Masjid Qiblataini

Seterusnya, jemaah di bawa ke kilang mencetak Al-Quran. Kami hanya melalui sahaja kawasan kilang ini dan tidak singgah. Satu rombongan dari kami singgah di kilang tersebut dan menerima sebuah Al-Quran sebagai cenderahati. Dalam perjalanan menujuk ke kilang tersebut, kami sempat melewati istana hinggap Raja Arab Saudi. 

Seterusnya perjalanan diteruskan menuju ke Masjid Qiblataini. Qiblataini bermaksud dua kiblat. Seperti maksudnya, masjid ini mempunyai 2 kiblat. Satu kiblat mengadap kiblat pertama umat Islam iaitu Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis. Kiblat kedua iaitu kiblat umat Islam sehingga kini yang menghadap Kaabah di Mekah. Rasullullah S.A.W. tatkala mendapat perintah daripada ALLAH S.W.T., baginda berhadapan kesukaran untuk menukar kiblat daripada Al-Aqsa ke arah Kaabah. Pertukaran kiblat ini adalah secara 180 darjah (iaitu daripada menghadap kehadapan, bertukar ke belakang). Setelah lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan berkiblat ke Baitul Maqdis, di dalam bulan Syaaban yang penuh barakah, semasa solat Asar, baginda menukar kiblat semasa di dalam solat tersebut. Baginda berpusing 180 darjah dan begerak ke hadapan. Makmum baginda pun mengikut berpusing 180 darjah. Mulai dari saat itu, kiblat umat Islam menghadap ke arah Kaabah.

Masjid Qiblataini

3.0 Tamar Ajwa

Seterusnya, perjalanan diteruskan untuk melawat ladang tamar. Jemaah boleh memilih berbagai-bagai jenis tamar dengan harga yang berpatutan di ladang tamar ini. Tamar yang paling bagus adalah "Ajwa" atau lebih dikenali sebagai kurma Nabi. Khasiat kurma Ajwa ada disebutkan di dalam sebuah hadis. 

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Rasulullah S.A.W. bersabda "Barang siapa yang memakan 7 biji tamar Ajwa, dia akan terkawal daripada racun dan sihir".

Kurma Ajwa juga amat berkhasiat untuk para ibu yang mengandung. Ia dapat melahirkan zuriat yang cerdas,  penyabar dan baik akhlaknya. Insyaallah. Harga sekilogram tamar Ajwa di ladang ini adalah RM60 sahaja. Ia agak murah jika dibandingkan dengan harga yang dijual di kedai-kedai.


4.0 Masjid Quba'

Usai sahaja sesi membeli belah buat tamar, kami pun dibawa untuk menziarahi masjid Quba'. Masjid ini adalah merupakan masjid pertama yang didirikan oleh umat Islam. Ia adalah diantara masjid paling suci dan berada di tempat keempat selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa. 

Tinggi syafaatnya menziarah masjid Quba ini. Adalah dinasihatkan agar para jemaah untuk mengambil wuduk dan kekal di dalam wuduk daripada tempat penginapan sehinggalah ke Masjid Quba'. Sekiranya ini terjadi, dan kita bersolat sunat dua rakkat di dalam Masjid Quba, maka kita akan dikurniakan pahala ganjaran seolah-olah mengerjakan sekali umrah. 






Malangnya saya telah batal wuduk pada ketika menjejakkan kaki di masjid ini. Saya mengambil kesempatan untuk solat sunat dua rakaat.


5.0 Masjid Tujuh

Seterusnya, perjalanan diteruskan untuk menziarahi masjid tujuh. Di kawasan ini, pernah terdapat 7 buah masjid yang kecil-kecil sahaja binaannya. Kini hanya tinggal empat sahaja daripadanya dan tidak lagi dilakukan ibadat solat. Di kawasan inilah berlakunya Perang Khandaq (Parit). 

Ziarah luar Madinah kami tamat disini. Para jemaah di bawa menuju ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat Zuhur. Selepas solat Zuhur dan sementara menanti waktu Asar, saya berjalan kaki sendirian untuk meneroka kawasan sekitar Kota Madinah. Saya sempat menziarah ke Masjid Bilal Bin Rabah yang berdekatan dengan Masjid Nabawi. Selepas itu saya ke Pasar Tamar. 

Masjid Bilal Bin Rabah


6.0 Selamat Tinggal Ya Rasulullah

Hari keempat merupakan hari terakhir kami berada di Kota Madinah. Kota yang aman lagi mendamaikan jiwa. Sekiranya punyai kemampuan dan waktu, adalah baik untuk umat Islam menetap di Madinah selama 8 hari. Maka dengan itu, kita boleh menunaikan 40 kali solat fardhu di Masjid Nabawi. Fadhilat sekiranya kita dapat menunaikan 40 kali solat fardhu (tanpa tertinggal diantaranya) adalah amat tinggi sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda:

 " Barangsiapa bersolat 40 kali (yakni solat fardhu) di dalam masjidku tanpa terputus, ditulis baginya terpelihara dari neraka dan dijauhkan azab dan dipelihara dari sifat-sifat munafik".

Malangnya saya hanya sempat berada di Kota ini selama 4 hari dan menunaikan sebanyak 17 solat fardhu sahaja. Insyaallah, suatu hari nanti moga diizinkan Allah untuk dapat mengerjakan sebanyak 40 solat fardhu di Masjid Nabawi. Amin!!!!!!

Saya akan bertolak ke Kota Madinah bagi mengerjakan ibadah umrah saya yang pertama selepas solat Asar. Beg pakaian telahpun dikemaskan. Saya mengasingkan kain ihram untuk dipakai apabila bertolak nanti.

Hari ini, adalah peluang terakhir saya untuk menziarah makam Rasulullah S.A.W. Selepas solat Zuhur, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Rasulluah S.A.W. Sayu dan sebak tatkala mengunjungi makam baginda buat kali terakhir kali ini. Saya berdoa agar Allah mengizinkan saya untuk kembali ke sini.

Selesai sahaja solat Asar, saya pulang ke tempat penginapan. Segera saya menuju ke bilik mandi untuk membersihkan diri dan mandi sunat ihram. Usai sahaja mandi sunat ihram, segera saya mencapai kain ihram. Inilah kali pertama saya menyarungkan ihram. Mulai saat ini, syarat-syarat mengenakan ihram sudah perlu diambil perhatian yang serius. Saya mengambil tempat duduk di atas bas dan segera untuk membuat rujukan kembali mengenai ibadah umrah.

Bas pun bergerak menuju ke Masjid Bir Ali ataupun juga dikenali sebagai Miqat Dzulhulaifah. Ia kira-kira 15 minit perjalanan sahaja daripada tempat penginapan kami. Para jemaah menunaikan solat sunat ihram dan berniat ihram di sini. Sabaik saha niat ihram dilafazkan, maka terikatlah dengan segala syarat-syarat semasa berihram sehinggalah sesudah bercukur/menggunting rambut.

Masjid Bir Ali

Usai Solat Sunat Ihram
Maka perjalanan Umrahku yang pertama pun bermula. Sebaik bas bergerak, para jemaah pun mula melaungkan lafaz Talbiyah.


Perjalanan dari Madinah ke Mekah mengambil masa kira-kira 8 jam perjalanan. Kami dijangka tiba di Kota Mekah sebelum Subuh. Nantikan TrAvELoGuE UmRaH 2013 [PaRt 3] yang akan menceritakan detik perjalanan umrah saya yang pertama dan juga sepanjang berada di Kota Mekah.

Sekian dan jumpa lagi. Assalamualaikum W.B.T.