Friday 29 March 2013

TrAvELoGuE UmRaH 2013 [PaRt 1]

1.0 Pengenalan

Assalamualaikum WBT. Alhamdulillah, dengan izinNYA, selamat hamba yang hina ini menunaikan ibadah umrah pada 1 Februari - 11 Februari 2013 yang lalu. Perjalanan kali ini adalah perjalanan yang paling bermakna dan membawa seribu satu erti dalam hidup saya. Erti yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, tak mampu digambarkan dengan lukisan.

Niat di hati telah terpendam lama. Acapkali terkenang, acapkali juga mata bergenang. Masakan hambaNYA yang hina ini bisa menjadi tetamuNYA yang maha suci. Namun ALLAH maha mengasihani, diizinkannya jua kaki ini untuk mencemar bumi para Anbia.

Atas pemintaan, suka untuk saya coretkan pengalaman saya sepanjang berada di tanah haram lagi suci, Madinah Al Munawarah dan Makkah Al Mukarramah.

2.0 Umrah

Menurut bahasa, umrah membawa maksud ziarah atau berkunjung. Manakala menurut istilah syarak pula, ia bermaksud mengunjungi Baitullah (Kaabah) untuk mengerjakan ibadah umrah dengan niat dan dengan syarat-syarat yang tertentu.

Umrah adalah WAJIB dilakukan sekali sahaja seumur hidup ke atas setiap orang yang mampu. Ini berdasarkan kepada Firman ALLAH SWT:


"Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah"

Sepanjang hayat, saya hanya tahu dan diberitahu bahawasanya umrah itu adalah ibadah sunat berbanding ibadah haji yang merupakan rukun islam dan wajib kepada yang mampu. Semasa saya menghadiri kursus umrah, ustaz memberitahu bahawasanya umrah kali pertama itu adalah Wajib kepada yang mampu. Kepada barang siapa yang mampu, dan ketika matinya tidak sempat mengerjakan ibadah umrah, maka matilah ia dalam kekufuran. Pada saat diberitahu tentang itu, gugur jantung mendengarnya. Terus saya berdoa agar ALLAH panjangkan umur saya dan dapat menunaikan ibadah umrah. Ini kerana, saya telah berupaya menjejakkan kaki ke banyak negara luar, tetapi masih belum menunaikan umrah. Anda ALLAH mengambil nyawa saya sebelum sempat menyempurnakan ibadah umrah, maka matilah saya dalam kekufuran. Alhamdulillah, ALLAH maha pengasih lagi maha penyayang. Dikurniakan rezeki dan dibukakan hati.

3.0 Keberangkatan

Niat dan perancangan pula sebenarnya telah lama. Dan segala urusan untuk menunaikan umrah ini dilakukan secara senyap-senyap sahaja. Takut sekiranya di war-warkan dari awal, ada aral melintang pula. Banyak juga cabarannya, namun diharungi dengan penuh sabar dan tenang.

Setelah semuanya berjalan lancar dan hampir berangkat, barulah saya mula memaklumkan kepada keluarga, saudara dan rakan-rakan. Ini kerana, sebelum berangkat, adalah lebih baik kita memohon ampun dan maaf daripada semuanya. Juga adalah baik untuk kita bersedekah dan doa selamat. Yang mampu saya lakukan kerana berkelana sendirian du Kuala Lumpur ini adalah menjamu rakan-rakan di pejabat dan mengharapkan doa selamat dari mereka.

Satu lagi perkara yang baik untuk dilakukan adalah meninggalkan wasiat. Saya telah hampir menyiapkan surat wasiat, tetapi akhirnya tidak juga sedia kerana kekangan masa.

Tanggal 1 Februari 2013, saya pun berangkat ke Jeddah dengan menaiki pewasat Nas Air. Perjalanan mengambil masa kira-kira 9 jam. Saya tidak perlu untuk mengenakan ihram daripada KLIA kerana akan menuju ke Madinah dahulu. Jemaah yang akan terus menuju ke Mekah memakai kain ihram bahagian bawah  dari KLIA dan memakai baju. Pengumuman akan dibuat di atas kapal terbang 30 minit sebelum menghampiri miqat. Jemaah tersebut perlu mengenakan pakaian umrah yang lengkap dan juga berniat umrah.




Saya mengambil tempat di tempat duduk hadapan yang mana berhampiran dengan tandas dan pintu kecemasan. Tidak lama kemudian, datang dua orang kakak yang peramah mengambil tempat disebelah saya. Katanya senang nak melunjurkan kaki. Disepanjang perjalanan, saya sempat bertindak sebagai pramugara tak bertauliah. Menunjukkan tandas kepada jemaah-jemah lain yang agak berusia dan bagaimana untuk membuka pintu tandas. Bukan itu sahaja, tolong jaga pintu sebab mereka tidak tahu bagaimana untuk mengunci pintu tandas. Insyaallah, sekiranya kita membantu, semoga Allah permudahkan urusan kita pula nanti.

4.0 Madinah Al-Munawarah

Para jemaah tiba di Kompleks Terminal Haji Jeddah pada kira-kira jam 9.00 malam. Kami menunggu bas untuk bertolak ke Madinah. Perjalanan daripada Jeddah ke Madinah mengambil masa kira-kira 7 jam lagi. Semua jemaah kelihatan amat letih. Saya tertidur disepanjang perjalanan daripada Jeddah ke Madinah. Saya sedar sebaik sahaja memasuki kota Madinah. Maka sempatlah saya untuk membaca doa memasuki kota Madinah.

Dari kejauhan saya sudah dapat melihat kawasan terang dengan cahaya. Kelihatan juga menara masjid. Saya pasti itulah Masjid Nabawi. Tatkala itu, air mata terus bergenang (disaat menulis ini juga, rasa itu masih hadir kerana masih terbayang keindahan detik itu). Tak henti berselawat ke atas Nabi Junjungan. Tak sabar rasanya untuk menziarah pusara kekasih Allah. Nak pula Maulidur Rasul baru sahaja berlalu seminggu yang lalu. Indah....sungguh indah rasa itu.

Tidak berapa lama, bas pun berhenti di hadapan tempat penginapan kami (Markas Eliyas). Ia terletak kira-kira 100 meter sahaja daripada Masjid Nabawi. Tatkala bas berhenti sepenuhnya, azan Subuh pun berkumandang. Tak sabar rasanya ingin menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi. Mutawwif menasihatkan kami agar menyelesaikan dahulu urusan check in hotel dan kemudian barulah pergi ke masjid.

Usai sahaja urusan check in, saya solat Subuh di bilik sahaja kerana takut terlepas waktu. Lagipun badan masih letih. Sebaiknya mandi dan pakai pakaian yang baharu. Maklumlah, nak menziarah ke tempat bersemadinya Rasulullah. Mestilah pakai elok-elok, wangi-wangi.

Berbekalkan peta masjid, saya pun melangkah keluar daripada bilik seorang diri. Peta masjid ada menunjukkan lokasi makam rasulullah, raudhah dan lain-lain. Sesampai di lif untuk turun, seorang jemaah menegur saya. Ini bukan kali pertama beliau datang ke Masjid Nabawi. Alhamdulillah, saya mengikut sahaja beliau dan beliau menunjukkan pintu masuk masjid.

Pintu masuk ke masjid banyak. Jadi sila pastikan anda ingat dimana anda masuk dan juga di mana anda letakkan selipar/kasut. Selipar/kasut boleh dipegang dan diletakkan di dalam masjid berhampiran dengan tempat solat. Sebab mungkin kita akan masuk ikut pintu lain dan keluar di pintu yang lain. Lebih baik bawa beg plastik.

Sebaik sahaja menunaikan solat Tahiyatul Masjid, saya tidak sabar-sabar lagi untuk menjejak ke setiap sudut masjid. Kaki terus melangkah ke bahagian hadapan masjid. Perasaan keterujaan telah membuatkan saya lupa akan peta yang dibawa. Kaki terus melangkan hanya dengan perasaan keterujaan.

Tiba-tiba saya ternampak orang beratur di hadapan sebuah mihrab untuk menunaikan solat. Hati tertanya adakah kawasan tersebut adalah Raudhah? Tanpa berlengah lagi, saya pun beratur untuk menunaikan solat sunat dua rakaat. Semasa sedang beratur, ada seorang pak arab berkata dengan kami yang sedang beratur. Walaupun tak faham, tapi saya agak maksud beliau adalah, ini bukan kawasan raudah, raudhah adalah disebelah sana (sambil menunjuk ke arah sebuah mimbar). Dan pada masa itulah saya terlihat mimbar nadi dan dinding hijau yang merupakan makam rasulullah. Ya, Raudhah terletak diantara Mimbar nabi dan Makamnya. Alhamdulillah, Allah permudahkan jalanku.



Saya teruskan juga untuk solat di hadapan mihrab nabi. Usai solat sunat dua rakaat, saya terus menuju ke kawasan Raudhah. Jam menunjukkan kira-kira pukul 9.15 pagi. Jalan masuk ke kawasan Raudhah amat sempit. Jemaah pula solat di hadapan laluan masuk dan menghalang laluan. Alhamdulillah, dengan izinNYA saya dapat masuk dalam Raudhah dan mendapat ruang untu menunaikan solat sunat. Saya tidak mengambil masa yang lama untuk menunaikan solat dan memanjatkan doa bagi memberikan ruang kepada jemaah lain.

Selepas itu saya melangkah keluar daripada Raudhah dan beratur menuju ke Makam Rasulullah S.A.W. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad S.A.W. Air mata gugur lagi.....tanpa silu. Ya rasulullah, kau sambutlah selawat dan salamku, umatmu yang kecil dan hina. Pengikutmu yang alpa lagi lalai. Sebaik melintasi makam rasulullah, saya kembali semula berdiri di hadapannya. Kali ini saya sampaikan salam yang dikirimkan oleh rakan rakan.



Selepas itu saya terus keluar daripada kawasan makam nabi menuju keluar dari masjid. Tujuan saya berikutnya adalah untuk menziarahi perkuburan Baqi. Ia adalah salah satu tempat yang afdal dilawati. Ia menempatkan kubur para isteri nabi, ibu saudara rasulullah dan sebagainya. Saya mengambil kesempatan untuk sedekahkan Al-Fatihah di sini. Perkuburan Baqi terletak bersebelahan sahaja dengan Masjid Nabawi. Ia kini dipagar dan jemaah tidak boleh masuk ke dalam kawasan ini. Kita akan dapat melihat banyak burung merpati di dalam kawasan perkuburan ini.



Hari pun hampir sampai ke jam 11 tengah hari. Saya pun menuju pulang ke hotel untuk berehat dan menunggu waktu Zohor.

Azan Zohor kedengaran jelas daripada hotel. Sebaik azan berkumandang, saya pun bergerak menuju ke masjid. Di hadapan pintu pagar, sebelum dan sesudah waktu solat, anda akan dapat melihat ramai penjaja. Ia ibarat pasar malam. Kedai-kedai juga banyak di luar kawasan masjid. Penjaja di Madinah mesra dan friendly. Setiap kali saya masuk ke kedai, mereka akan kata " You Malaysia?". Bila saya kata yes, i am, mereka akan kata Malaysia Bagus!!!!  saya rasa amat-amat dialukan di Madinah.

Kali ini saya membawa bersama kamera. Selepas Zohor, saya sekali lagi berjalan sekeliling masjid. kali ini, kawasan raudhah agak sesak sekali. Jadi saya akan pergi lagi esoknya dalam waktu yang sama seperti tadi. Ada juga yang memberitahu, waktu awal pagi juga tidak ramai jemaah. Bagi lelaki, kita boleh ziarah pada bila-bila masa. Perempuan pula mempunya masa-masa yang ditentukan.

Saya mengambil peluang sementara menunggu waktu Asar untuk mengambil gambar. Sempatlah mengambil gambar interior masjid, mimbar nabi, raudhah, makam nabi, kubah dan di kawasan luar masjid. Tiba-tiba, di suatu pintu keluar masjid, sedang saya hendak mengambil gambar menara, saya ditegur oleh seorang pengawal masjid. Beliau memberikan isyarat untuk memberikan beliau kamera saya. Dia bercakap di dalam Bahasa Arab dan saya tidak faham. Nasib baik ada seorang cleaner berbangsa Indonesia datang kepada saya. Katanya tidak dibenarkan untuk mengambil gambar. Pak Arab tersebut telah merampas kamera saya dan mahu memadam semua gambar-gambar yang telah diambil. Cleaner Indonesia itu memberitahu kepada pengawal tersebut yang saya dari Malaysia. Saya pun menyampuk "Naam, Ana Malizi". Dan saya meminta maaf. Selepas beberapa ketika, dia pun memulangkan kembali kamera saya dan menunjukkan isyarat "No Camera" (agaknya la hihi). Selepas insiden itu, saya terus pulang ke bilik untuk menyimpan kamera saya. Dan saya hanya menggunakan kamera handphone sahaja.

Menurut ceritanya disebalik larangan mengambil gambar (kebetulan pula saya sasarkan lensa ke arah bahagian menara masjid), ialah sebelum ini telah ada cubaan sebanyak 5 kali untuk mencuri jasad Rasullullah S.A.W. Antaranya adalah melalui kubah masjid. Tanpa izin ALLAH, semuanya gagal. Maka dengan itu, atas tujuan keselamatan, mengambil gambar dengan menggunakan kamera DSLR adalah dilarang.







5.0 Syafaat Madinah

Madinah bolehlah dikategorikan sebagai sebuah kota yang teratur, moden dan harmoni. Masyarakatnya ramah dan menghormati rakyat Malaysia. Setiap kali masuk ke kedai-kedai, pasti mereka akan pegang tangan saya seumpama seorang kawan yang dah lama kenal.

Diceritakan oleh Mutawif, Madinah harmoni kerana syafaat jasad Rasulullah yang bersemadi di Kota itu.

Ahmad & At Tarmizi ada meriwayatkan bahawasanya Rasulullah S.A.W. pernah bersabda dalam sebuah hadis " Barangsiapa yang mampu untuk mati di Madinah, maka lakukanlah. Sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada sesiapa yang mati di sana".

Mampu di sini bermaksud bukanlah kita pergi sana dan bunuh diri. Itu tempatnya kekal di neraka ;-). Sekiranya mampu, bermastautin lah di Madinah sehingga Allah mengambil nyawa kita. Tinggi syafaatnya. Demi Allah, sekiranya ada rezekiku, sekiranya aku mampu dan tiada tanggungjawab dan tanggungan aku di tanahair, pasti aku akan pilih untuk menetap di bumi Madinah.

Cerita ini ditangguhkan disini dahulu. Part 2 nanti akan saya ceritakan pula mengenai ziarah luar kota Madinah. banyak juga cerita-cerita menarik untuk dikongsikan. Part 3 (Baagian Akhir) akan saya ceritakan pengalaman saya di bumi Makkah.

Jumpa lagi. Assalamualaikum.









3 comments:

Unknown said...

baca blog nam ni buat rasa sebak.. rindunya untuk kembali ke sana.. :( sgt2 rindu

Unknown said...

baca blog nam ni buat rasa sebak.. rindunya untuk kembali ke sana.. :( sgt2 rindu

Unknown said...

insyaallah rindu itu akan menjemput kita semula ke sana ;-) Amin!!!!!